Tentang ujian
Susah dan lelah tak kurang dari mengiringinya. Datang bersilih ganti tanpa henti. Namun manusia mana yang mahu bersamanya? Yang sudi bakal nikmati kesenangan. Yang tidak hanya berteduh di tepian dunia.
Adapun mereka endah atau tidak akan kebahagiaan yang bakal mengganti kesusahan. Tak ada senang tanpa susah, susah tanpa senang. Senang dan susah adalah keluarga yang tidak pernah berpisah.
Kalau dunia dibuat untuk kesenangan, maka tiadalah erti kehidupan yang kita rasai. Apa mahu dibuat kalau sudah senang? Apa mahu difikir kalau sudah tersedia? Bawalah diri berfikir sejenak, adakah kerugian disebalik ujian yang kita hadapi? Ujian tak bawa kesenangan dan kesengsaraan. Dia bawa kita ke daerah fikiran. Samada memberi kematangan atau kecelaruan. Terpulang si pemilik fikiran.
Sekalipun diasak, dirempuh, dan dibadai sebegitu kuat, jangan berpaling dari semangat juang. Jadilah seperti mata pedang, diasah dan dibentuk menjadi senjata yang tajam. Bila sampai waktu diasak, ia bukan membawa tuannya mundur bahkan menjadi lebih kuat untuk melawan musuhnya.
Mintalah kepada Tuhan yang memiliki segala zat untuk dicurahkan kekuatan lahir dan batin. Buat kekuatan untuk terus berjuang dan beramal sebagai hamba-Nya. Kita si pengembara tak dibiarkan keseorangan oleh-Nya.
Ulasan
Catat Ulasan